Saturday, January 10, 2015

Utusan NDP Sempena Hari Kemerdekaan Negara Ke-22 Tahun "MENINGKAT DAYA SAING BANGSA"

MENINGKATKAN DAYA SAING BANGSA

Negara Brunei Darussalam merayakan Hari Kebangsaannya yang ke 22, yang juga ditanggapi oleh kebanyakan anggota masyarakat sebagai perayaan Hari Kemerdekaan pada 23hb Februari 2006 ini.

Partai Pembagunan Bangsa (NDP) yang baru berumur enam bulan ini tidak ketinggalan turut merayakannya dengan berbagai program yang membawa mesej dan isyarat tertentu.

Program-program yang diatur oleh NDP berjalan selama sebulan bermula dari 1hb Feb 2006 hingga 28hb Feb 2006, dimulai dengan Tadarus Al Quraan dan doa selamat dan kemudiannya ditutup juga dengan majlis Khatam al Quraan dan doa selamat dengan harapan untuk memohon petujuk hidayah dan keberkahan dari Ilahi.

Ketika kita merayakan Hari Kebangsaan ini marilah kita sama-sama merenung jauh kehadapan, apakah survival bangsa, negara dan institusi kesultanan Brunei ini akan kekal karal buat selamanya selagi ada bulan dan matahari?

Dalam konteks ini sekurang-kurangnya tiga unsur atau nilai kebangsaan yang wajar kita perhatikan dan nilai secara jujur sama ada tuntutan keselamatan bagi negara kita yang kecil ini telah kita fikirkan secara serius atau telah kita usahakan atau kita masih leka dan “inda ingau?”

Anggota-anggota NDP diajak untuk menginsafi bahawa tuntutan keselamatan negara kita yang kecil ini adalah lebih kepada usaha untuk menjaga dan mengembangkan nilai-nilai kebangsaan yang kita anggap amat penting iaitu survival jatuh bangunnya masyarakat (survival of the population), keutuhan wilayah (territorial integrity) dan kemerdekaan politik (political independence).

Dari sudut survival bangsa, NDP dan seluruh anggotanya, sesuai dengan komitmennya yang tersurat di dalam perlembagaan parti hendaklah berdiri teguh dan mapan pada setiap saat membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai pemimpin dan pemerintah untuk menjalankan polisi-polisi yang mampu mencorakkan dan meningkatkan tahap kehidupan serta keselesaan hidup rakyat seluruhnya.

Masyarakat yang baik, berdayamaju dan berdayasaing lazimnya terhasil daripada polisi dalaman yang baik dan dilaksanakan, samada dari sudut sosial, ekonomi, agama ataupun pendidikan yang cemerlang.

Oleh itu pihak-pihak yang berkenaan hendaklah terus menerus mengadakan kajian dan menilai polisi-polisi yang telah digarapkan dan pencapaianannya atau menggubal polisi-polisi baru, seterusnya proaktif menangani sebarang kepincangan tanpa menunggu titah.

Umpamannya, bagaimana tahap kemiskinan di Brunei yang terbilang antara yang terkaya didunia mempunyai tahap kemiskinan boleh mencecah 25,000 orang berbanding rakyat yang tidak sampai pun 300,000 orang, bagaimana permohonan skim perumahan dan tanah perumahan untuk rakyat jati telah melebihi 40,000 pemohon, dan permohonan ini meningkat tahun demi tahun.

Bagaimana kita boleh merapatkan jurang pendapatan yang luas umpamannya ada yang bergaji B$40,000 sebulan sedang ada yang masih menerima gaji hari kurang dari B$20 sehari dan kenaikan tahunan antara 30 sen – 60 sen setahun? Inilah di antara isu-isu yang dilihat oleh NDP sebagai amat menggerunkan.

Jika tidak ditangani dengan segera dan sewajarnya isu-isu seperti ini tidak syak lagi boleh menggugat survival bangsa. Islam juga mengingatkan bahawa kemiskinan itu lebih hampir kepada kekufuran, justeru itu wajiblah diambil langkah-langkah yang berpatutan dan proaktif bagi menanganinya. Barang sudah tentu, kejayaan kita mencorakkan rakyat mempunyai kualiti hidup dan kehidupan yang tinggi akan melahirkan masyarakat yang sihat, bertanggung jawab dan bangsa yang berdayasaing.

Insya Allah keadaan ini akhirnya akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara, dan sistem pertahanan negara yang paling ampuh.

Justeru, dalam konteks ini, aspek keselamatan dan survival rakyat dan penduduk negara yang kita cintai sewajarnya diletakkan pada agenda paling atas dalam kerangka sebarang formulasi polisi dan eksekusi program pembangunan negara. Dari sudut keutuhan wilayah pula,

NDP melihat isu ini sebagai aspek yang sangat penting. Kepentingan ini membawa maksud bahawa integriti seluruh wilayah Brunei Darussalam hendaklah kita jaga dan pertahankan dengan sesungguh hati, jiwa dan raga.

Kegagalan menjaga integriti wilayah akan membawa kepada perpecahan negara dan paling tidak akan menyebabkan wilayah kita semakin terhakis.

Kerana itulah juga kita dapati apabila sesetengah negara berdepan dengan ancaman pembebasan wilayah seperti di Patanni atau Mindanao, negara-negara terbabit akan menilainya sebagai sebahagian daripada ancaman kepada nilai utama sesebuah negara iaitu keutuhan wilayah. Pendekatan untuk menjaga integriti wilayah ini memerlukan pendekatan yang bukan semata-mata bersifat ketenteraan tetapi juga dari sudut politik, persatuan dan kesatuan seluruh rakyat serta kesetiaan seluruh rakyat yang tidak berbelah bagi kepada negara dan raja yang dicintai.

Sejarah telah mengajar betapa pergolakan politik yang negatif di dalam negara serta perlaksanaan dasar -dasar yang lemah, telah dieksploit oleh kuasa-kuasa asing sehingga mereka berjaya memecah dan mengecilkan negara brunei darussalam, yang suatu ketika dahulu adalah sebuah empayar yang mempunyai keluasan wilayah melebihi satu juta kilometer persegi.

Kemerdekaan politik merupakan isu yang sangat sensitif.

Ini kerana kebanyakan negara-negara kecil mempunyai pengalaman sejarah lampau yang pahit termasuk pengalaman berada di bawah penjajahan.

Justeru, ancaman terhadap kedaulatan, kemerdekaan atau kebebasan politik dalam sesebuah negara dilihat sebagai amat membimbangkan kerana penjajahan dalam bentuk baru boleh saja berlaku melalui pelbagai cara, antaranya melalui kesempatan daripada wujudnya tahap kemiskinan yang meluas, globalisasi yang membolehkan negara luar mengawal tindakan sesebuah negara tanpa sedar terutama dengan menggunakan instrumen ekonomi atau alasan Foreign Direct Investment (FDI).

Demikianlah kita melihat persoalan mempertingkatkan daya saing bangsa dan hubungannya dengan keselamatan negara dan survival bangsa, justeru meletakannya sebagai keutamaan dalam agenda perjuangan NDP.

Kesedaran rakyat yang menyeluruh disertai dengan iltizam, akan dengan sedirinya melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi, berilmu, beriman, bertaqwa dan mempunyai kekuatan ampuh untuk berdayasaing dengan lain-lain bangsa dan negara di peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya, perananan dan tangungjawab ini tidak seharusnya diletakkan ke atas pundak bahu Kebawah Duli Yang Maha Mulia semata-mata. Seluruh jentera pemerintah hendak bergerak seiring dan bersepadu dengan penuh jujur dan amanah.

Kurangkanlah sebarang perasangka buruk dan fitnah memfitnah kerana ianya tidak membawa apa-apa keuntungan kepada negara dan bangsa dan negara.


Insyaallah rakyat yang bebas dari kemiskinan, mempunyai kualiti hidup yang tinggi, bebas dari sebarang perasangka dan dipandu oleh keimanan dan ketakwaan akan melahirkan rakyat yang bulat tekad dan kecintaan luhur terhadap raja, bangsa dan negara. Insyaallah, dengan ikrar kita untuk menjunjung titah membangun negara Brunei Darussalam akan akhirnya seiring dan sejalan dengan negara-negara membangun yang lain. Walaupun kita kecil namun akan tetap dilihat besar. Wallahwaalam

No comments:

Post a Comment