Saturday, January 10, 2015

NDP bukan kerajaan menunggu

MAY 2006

Parti Pembangunan Bangsa sama sekali tidak bercita-cita untuk mengambil alih kerajaan, atau menubuhkan kerajaan, atau bergerak sebagai sebuah parti politik yang berangan-angan menjadi sebuah kerajaan menunggu .

Perkara ini ditekankan oleh Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ayahnda Yasin Affandy dalam ucapan beliau merasmikan bermulanya Kongres Agung pertama NDP yang berlangsung pada Ahad kemarin di Dewan Besar Bangunan Perastuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB).

Tegasnya seperti yang termaktub dalam Artikel 4.1 dan Artikel 4.2 perlembagaannya, NDP diwujdukan untuk mempertahankan kedaulatan dan kedudukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri di Negara Brunei Darussalam buat selama-lamanya.

“Dalam apa jua keadaan, Parti Pembangunan Bangsa tetap akan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda, bersedia menjunjung titah perintah, buat selama-lamannya, insya-Allah”, tegas Ayahnda Yasin Affandy dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Morshidi Othman.

Diawal ucapanya Ayahnda Yasin Affandy mengalu-alukan kehadiran para tetamu, para diplomat, ahli-ahli sekalian ke Kongres Pertama Parti Pembangunan Bangsa.

Katanya kehadiran mereka meyaksikan hari yang amat bersejarah tu menguatkan lagi azam semua warga NDP untuk menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan untuk membangun bangsa.

“Kehadiran saudara-saudari semua bukan sahaja merangsang dan menguatkan azam kami, malah akan menjadi sumber kekuatan iltizam kepada kami untuk mencorakkan perjuangan membangun bangsa dan memperkukuh keutuhan Negara yang ditujukan semata-mata untuk mendapatkan mardhatillah – keredhaan Allah”, kata Presiden dalam ucapanya.

NDP ditubuhkan utuk menyahut cabaran politik semasa


Dalam ucapannya ayahnda Yasin Affandy menegaskan NDP ditubuhkan semata-mata untuk menyahut cabaran perkembangan politik semasa dan sebagai pelantar untuk menyembahkan khidmat Kehadapam Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

“Suasana di sekeliling kita telah merangsang kita semua untuk menyahut cabaran perkembangan politik semasa dengan menzahirkannya melalui pelantar parti politik yang menyembahkan khidmat yang tulus ikhlas Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah, kepada Kerajaan Baginda dan kepada seluruh lapisan rakyat Baginda serta penduduk Negara Brunei Darussalam dan umat sejagat, di mana saja khidmat kita diperlukan dan sepanjang yang termampu oleh kita melaksanakannya, insya-Allah”.

“Atas rasa kesedaran dan tanggungjawab inilah kita menubuhkan Parti Pembangunan Bangsa yang telah diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada 26 Rejab 1426 bersamaan 31 Ogos 2005”, jelas Presiden NDP.

Katanya Parti Pembangunan Bangsa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pendaftar Pertubuhan dan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang telah meluluskan pendaftarannya.

“Kesempatan yang diberikan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini adalah satu petanda baik dan membawa isyarat bahawa negara yang tercinta ini sudah bersedia untuk tampil kehadapan berdiri sama rendah dan duduk sama tinggi dengan negara-negara maju dan membangun khususnya dari segi perkembangan politik dan hak asasi manusia”.

“Justeru itu, dengan penuh insaf, Parti Pembangunan Bangsa berikrar, Insya-Allah akan sentiasa menanai dengan setulusnya semangat dan kehendak perlembagaan Parti Pembangunan Bangsa dengan penuh keimanan dan rasa tanggungjawab kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan, dan kepada Kerajaan serta rakyat Baginda dan penduduk Negara Brunei Darussalam”, tambah ayahnda Yasin Affandy.

Memertabatkan Melayu

Isu memertabatkan bangsa Melayu juga disentuh oleh ayanda Yasin Affandy dalam ucapan beliau di perasmian Kongres Agung pertama NDP itu.

Katanya kita bersyukur dan berbangga menjadi rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah memperlembagakan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja.

“Kita juga megah menjadi rakyat Baginda yang meletakkan rupa bangsa Melayu di dalam perlembagaan negara. Hanya di Negara Brunei Darussalam saja rupa bangsa Melayu ditegaskan sebagai bangsa di dalam perlembagaan negara”, tegas Presiden NDP.

Katanya sehubungan itu, di dalam perlembagaan Parti Pembangunan Bangsa, Artikel 4.4 turut menegaskan komitmen Parti Pembangunan untuk menyokong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda dalam menegakkan dan mempertahankan ketuanan Melayu-Muslim di Negara Brunei Darussalam tanpa adanya sebarang diskrimiasi atau ketidakadilan terhadap bangsa-bangsa dan kaum-kaum yang lain.

“Bangsa Melayu itu mulanya besar, tersebar meliputi seluruh Nusantara, tetapi yang merakamkan rupa bangsa Melayu di dalam perlembagaan hanya di negara kita yang tercinta ini. Dengan itu juga bahasa yang dituturkan itu kekal dikenali sebagai Bahasa Melayu. Justeru Bahasa Melayu yang kaya itu perlu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa teknologi”.

“Bangsa Melayu di Negara Brunei Darussalam hendaklah terus menjadi umat yang berpegang kepada kebudayaan Melayu yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai murni”.

“Ketika umat Melayu di tempat lain menukar identitinya kepada nama lain, maka biarlah kita di Negara Brunei Darussalam ini berbangga mengekalkan identiti kita sebagai bangsa Melayu yang terdiri dari tujuh suku kaum, Melayu Brunei, Kedayan, Murut, Dusun, Bisaya, Tutong dan Belait”, kata Ayahnda Yasin Affandy lagi.

“Dengan pegangan tersebut, dan dengan azam kental kita untuk terus mendaulatkan bahasa Melayu itu, insya-Allah, mudah-mudahan, tidaklah akan hilang Melayu di dunia. Malah keutuhan dan kekuatan bangsa Melayu di Negara Brunei Darussalam itu sendiri tidak syak lagi akan menjadi pasak tamadun Melayu yang besar dan bangsa yang maju yang luas jangkauannya. Insyaallah”.

Islam menjadi peggangan NDP

Di perasmian Kongres Agung pertama NDP, Ayahnda Yasin Affandy juga menekankan bahawa Islam yang menjadi pegangan majoriti rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah aset penting bagi ketahanan negara dan bangsa.

Justeru itu, katanya, umatnya mesti dibangunkan dengan ilmu dan akhlak yang mulia supaya melahirkan insan kamil yang menjadi sumber inspirasi, kekuatan dan penggerak kemajuan.

Ilmu, akhlak dan amal insan yang dibangunkan itu nescaya boleh menjadi benteng menyekat kemaraan gejala kerosakan sosial, keruntuhan moral dan fahaman Islam yang terkeluar daripada kesepakatan umat Muslimin yang Mukminin, yang jelas melanda umat Islam seluruh dunia dewasa ini. Kita mesti bersedia mencegahnya sebelum merebak luas ke negara kita, tambahnya lagi.

NDP bukan kerajaan menunggu

Menurut penjelasan ayahnda Presiden, Parti Pembangunan Bangsa sama sekali tidak bercita-cita untuk mengambil alih kerajaan, atau menubuhkan kerajaan, atau bergerak sebagai sebuah parti politik yang berangan-angan menjadi sebuah kerajaan menunggu.

Katnya Parti Pembangunan Bangsa menegaskan di dalam Artikel 4.1 dan Artikel 4.2 perlembagaannya untuk mempertahankan kedaulatan dan kedudukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri di Negara Brunei Darussalam buat selama-lamanya. Dalam apa jua keadaan, Parti Pembangunan Bangsa tetap akan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda, bersedia menjunjung titah perintah, buat selama-lamannya, insya-Allah.

”Dalam konteks ini, dari awal lagi Parti Pembangunan Bangsa menegaskan pendekatan politiknya, iaitu kita berpolitik untuk berdakwah dan berdakwah melalui parti politik. Dakwah di sini membawa konotasi bahawa kita menyeru dan bekerja untuk kebaikan dan menolak apa jua yang dilihat tidak baik”, jelasnya lagi.

NDP bersedia memberikan perkhidmatan

“Yang utama bagi kita dan yang diperlukan oleh masyarakat Negara Brunei Darussaslam hari ini ialah memberikan perkhidmatan. Berkhidmat kepada negara, kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, kepada Kerajaan Baginda, dan berkhidmat kepada rakyat Baginda dan penduduk negara ini”.

“Pada pengamatan kita, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kini memerlukan perkhidmatan yang sebaik-baiknya, yang cepat dan berkesan, sepertimana jua yang amat jelas dikehendaki oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah untuk mereka”.

“Nah di sinilah tanggungjawab kita untuk membantu Kerajaan Baginda dengan menyusup dan mengisi segenap ruang yang lompang supaya gandingan padu antara parti-parti politik dan jentera Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dapat disepadu dan digerakkan sesuai dengan peranan kita sebagi rakan pembangunan dan rakan strategik kepada Kerajaan Baginda, semata-mata kerana Allah SWT jua”, kata Presiden NDP.

Katana bagi mencapai cita-cita itu, risalah perjuangan Parti Pembangunan Bangsa hendaklah dibawa ke semua ceruk rantau di negara ini, baik di kota mahu pun di desa. Risalah perjuangan kita mesti disampaikan kepada sekalian rakyat jelata sama ada yang beragama Islam atau tidak, atau sama ada mereka itu sang jati atau bukan, Melayu atau bukan Melayu.

NDP tidak pilih bulu

“Hari ini ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa sudah mencecah seribu anggota. Parti Pembangunan Bangsa adalah milik sekalian rakyat Negara Brunei Darussalam, baik yang berada dalam negeri mahupun di perantauan”.

“Kita mengalu-alukan semua lapisan masyarakat untuk memasuki Parti Pembangunan Bangsa, sama ada yang datang itu dari golongan berada mahupun golongan marhaen yang tinggal di dangau pisang sesisir, dari ningrat ke buruh, tani dan nelayan, dari yang berilmu hingga yang tidak berpeluang ke sekolah, hatta kepada bekas penagih dadah dan bekas banduan, asalkan mereka terdiri dari kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan menepati kehendak-kehendak perlembagaan parti”.

“Inilah keistimewaan keluarga besar Parti Pembangunan Bangsa. Kita tidak segan dan tidak malu untuk menerima sesiapa saja yang layak untuk menjadi ahli. Perjuangan kita adalah perjuangan yang indah dan murni, justeru hanya mutu yang mengenal manikam”.

Sasaran 5000 ahli di tahun 2007

Ayahnda Yasin Affandy dalamucapan beliau yang dibacakan oleh sdra Morshidi menyeru semua ahli-ahli NDP agar dapat merekrut seramai mungkin rakyat negara ini bagi menjadi anggota Parti Pembangunan Bangsa.

“Marilah kita sama-sama mensasarkan, menjelang Kongres Agung Kedua Parti Pembangunan tahun 2007, kita akan dapat menubuhkan 20 cabang atau 200 ranting, atau mendaftarkan lima ribu anggota. Moga-moga selepas itu pula, tiada lagi desa dan skim perumahan yang tidak ada ranting Parti Pembangunan Bangsa di dalamnya”.

Katanya ke arah itu, setiap anggota hendaklah memahami dasar dan matlamat perjuangan parti, memahami segala tanggungjawab parti dan tanggungjawab kita sebagai seorang anggota parti.

“Setiap anggota hendaklah bekerja keras bagi menjadikan parti kita ini sebagai organisasi untuk semua, sekali gus menjadi agen perubahan yang positif dan konstruktif dalam masyarakat. Setiap anggota wajar ada jatidiri, azam dan komitmen untuk memajukan diri sendiri, keluarga dan jiran tetangga”, tambah Ayahnda Yasin Affandy lagi.

Selepas saja seseorang itu mendaftar menjadi anggota parti, maka dia hendaklah memulakan langkah mengubah sikap, menjadi seorang yang kuat azam bagi memajukan diri, keluarga dan masyarakatnya. Ia diikuti dengan bekerja kuat bagi mencapai kemajuan. Seorang ahli NDP hendaklah menjadi orang yang lebih kuat azam dari seorang yang tidak berparti. Seorang ahli NDP hendaklah menjadi sorang yang lebih kuat bekerja dari seorang yang bukan ahli parti, dan seorang ahli parti hendaklah lebih berdisiplin dari seorang yang bukan ahli parti”.

“Gerakan kita yang terancang dengan anggota-anggotanya yang mempunyai kualiti yang disebutkan itu tentunya boleh membantu memudahkan sistem penyampaian atau delivery system dalam parti. Justeru tekad kita untuk menolong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah seperti yang termaktub di dalam misi parti serta tekad untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan Baginda dalam pelbagai bidang seperti yang termaktub di dalam objektif utama parti, insya-Allah akan dapat dilaksanakan secara berkesan”.

Memperkasa Brunei dimata dunia

Negara Brunei Darussalam asalnya adalah sebuah wilayah yang besar. Kedatangan penjajah telah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara bergeografi kecil. Kita tidak mungkin boleh membesarkannya kembali. Kita mesti menerima hakikat itu. Kita mesti memahami bahawa sanya kita dalam keadaan serba terhad dan penduduknya juga tidak besar.

Kitalah yang terkecil di Asia Tenggara ini. Apakah yang dapat kita lakukan dan apakah sumbangan kita kepada dunia dengan saiz yang kecil itu? Orang tidak mungkin melihat kita penting dengan keadaan yang ada. Kita tidak wajar berputus asa dengan saiz yang kecil. Kecil tidak bererti tidak boleh berperanan dan tidak boleh memberi sumbangan. Kita mesti hidup, kehadiran kita biar seperti angin, walau tidak dapat dilihat tapi dapat dirasa.

Untuk itu, satu-satunya jalan yang ada ialah, kita mesti mengambil langkah tepat supaya Negara Brunei Darussalam berperanan dan dihormati. Inilah cabaran bangsa kita yang menghendaki kita bekerja dan merancang untuk hidup dan berperanan. Justeru itu parti kita mesti kuat supaya kita dapat membantu negara berperanan di rantau ini dan dunia sejagat amnya.

Di sinilah Parti Pembangunan Bangsa boleh berperanan bagi memastikan yang peta Negara Brunei Darussalam kekal di dalam atlas dunia. Banyak negara besar di dunia, tetapi tidak banyak peranan. Banyak pula negara yang kecil, tetapi berperanan.

Belgium terletak di dalam sebuah negara yang juga bersaiz kecil, tetapi ia menjadi tapak markaz besar NATO. Dari Brusseli, ibu kota Belgium, NATO merancang mempengaruhi dunia. Luxembourgh sekecil Negara Brunei Darussalam, tetapi ia mampu menjadi pusat kewangan dan tuan rumah Parlimen Kesatuan Eropah.

Belgium dan Luxembourgh mencapai tahap keyakinan masyarakt antara bangsa kerana kerajaan dan rakyat mereka seiringan mencipta iklim politik yang dinamik dan maju. Kejayaan mereka itu bukan kerana rakyatnya ramai, atau tentera dan sistem pertahanannya canggih. Tetapi kerana ia berjaya mewujudkan rakyat yang berdaulat yang cintakan bangsa dan negara, berilmu, rajin dan kuat bekerja. Ia mewujudkan kerajaan dan pentadbiran yang terbaik, adil dan dinamik serta berpegang kepada kedaulatan undang-undang. Bebas dari rasuah, kroni dan nepotisma. Dengan nilai dan kekuatan itu, ia dihormati oleh semua, diyakini dan dikehendaki oleh semua.

Mengamat-amati dari pengalaman dan kegagalan kerajaan-kerajaan di dunia, maka Parti Pembangunan Bangsa merasa adalah menjadi gagasannya untuk membantu Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sesegeranya jua bagi mewujudkan sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan yang terus menerus meningkat dari segi keadilan dan kesaksamaan, ketelusan, kebersihan, cekap, amanah, penuh ihsan dan kebajikan seperti yang tercatit di dalam Artikel 5.3 Perlembagaan Parti Pembangunan Bangsa.

Sebuah kerajaan yang kuat dan disegani ialah kerajaan yang berpegang kepada undang-undang. Kita wajar memastikan negara mempunyai undang-undang yang terbaik. Kita boleh mengambil yang terbaik dari semua undang-undang yang terdapat di dunia. Dan di sana terdapat contoh yang baik dari perundangan Islam yang berjaya menjadikan tamadun Islam sebuah pentadbiran yang gemilang dan disegani di dunia apabila ia berpegang kepada keluhuran undang-undangnya.

Perancis adalah contoh negara yang mengambil semangat perundangan Islam bagi merangka undang-undangnya. Menggabungkan semua yang terbaik itu dapat membantu Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara undang-undang yang dapat melonjakkan kekuatan rakyat, kehebatan pentadbiran, kerajaan dan negara sesuai dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah untuk menegakkan dan mempertahankan prinsip keadilan dan ihsan (Al ‘Adli Wal Ihsan).

Banyak negara yang tumbang disebabkan oleh gejala dan amalan rasuah. Ia adalah penyakit sosial yang begitu kronik bagi kebanyakan negara di Asia dan di Asia Tenggara. Undang-undang yang ada hendaklah digunakan bagi mengekang amalan rasuah hingga ke tahap sifar. Jika undang-udang yang ada dinilai belum sempurna, maka ia perlulah disempurnakan, supaya rasuah dan kroni dapat dicegah di peringkat awal lagi. Badan mencegah rasuah hendaklah berfungsi dengan berkesan agar penyakit itu tidak menular di negara ini, dan bertindak tanpa memandang bulu.

Keluhuran undang-undang, pentadbiran yang cekap, birokrasi ke arah memudahkan urusan orang ramai dan kerajaan yang anti rasuah, insya-Allah, akan dapat menjamin keselamatan nyawa dan harta benda orang yang menetap dan yang singgah ke negara kita. Dengan itu, insya-Allah negara akan dapat memberi apa yang di harapkan oleh semua pihak.

Keupayaan kita mewujudkan suasana yang kondusif itu tentunya akan dapat meyakinkan semua pihak untuk datang berkawan, berurus, melancong dan melabor dengan kita.

Sebuah negara kecil seperti Negara Brunei Darusslam memerlukan seramai-ramai kawan di dunia. Tidak ada negara di dunia boleh hidup sendiri. Amerika Syarikat yang besar dan gagah itu sendiri memerlukan seramai-ramai kawan untuk bersamanya, samada semasa aman atau semasa ia berperang.

Dunia sekarang perlu saling bergantung. Negara Brunei Darussalam perlukan dasar luar dan diplomasi yang aktif. Ia memerlukan pasukan diplomat yang cekap dan lincah yang bukan sekadar memenuhi keperluan protokol. Kita mahu Negara Brunei Darussalam dapat berperanan secara lebih aktif di dunia antarabangsa. Suara Brunei perlu didengar oleh semua di mana-mana jua. Biar suara dan pandangan kita dicari dan dikehendaki oleh semua.

Walaupun negara kita kecil tetapi jika amalan diplomsi dan semua para pengerak dan pendukungnya dinamik, tentu sekali pendekatan seperti itu akan dapat dijadikan sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan, pertahanan, kesejahteraan dan kejayaan. Kita amat berminat ke arah dasar luar yang proaktif dan diplomasi yang tinggi bagi membolehkan kita berperanan sekurang-kurang di rantau ASEAN dan Asia Pasifik sebagai promoter keamanan di rantau berkenaan.

Kita amat terharu dengan pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya di Afghanistan dan di Iraq. Ia sedang dan amat mengeruhkan rantau Asia Barat. Ia adalah suatu yang tidak wajar berlaku selepas terbentuknya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan setelah tamatnya Perang Dingin. Kita mengharapkan terbentuknya sebuah dunia aman selepas tamatnya penjajahan Barat dan Perang Dingin.

Kita mengharapkan negera-negara besar dan maju dapat menjamin keamanan dan melindungi negara-negara kecil. Malangnya ia memberi peperangan bukan keamanan. Ia membawa pencerobohan bukan kemerdekaan. Ia membawa huru-hara dan pembunuhan, bukan demokrasi.

Parti Pembangunan Bangsa menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkikah Mui'zzaddin Waddaulah yang melahirkan kekesalan Baginda yang amat sangat terhadap gejala penghinaan ke atas Rasulullah SAW yang kian menjolok mata. Mengkarikaturkan Rasulullah SAW oleh akhbar Denmark dan disalin oleh media lain termasuk negara-negara yang terdekat dengan kita, adalah pencabulan yang wajar dikutuk. Ia satu perbuatan permusuhan. Ia hanya mahu menjuahkan hubungan rapat yang terjalin antara dunia Barat dan dunia Islam separuh abad lalu.

Antara penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan Islam adalah persepsi Islam disinonimkan dengan keganasan, dan melihat umat Islam yang mahu kembali kepada ajaran Islam sebenar sebagai gejala penyebar keganasan. Dalam hubungan yang lain, kita berpendapat bahawa sikap di kalangan masyarakat Islam yang menafikan keperluan kembali kepada Islam yang syumul adalah juga satu penghinaan kepada Rasulullah SAW. Moga-moga masyarakat Melayu Islam Beraja di negara kita terhindar dari kesesatan ini.

Isu kemiskinan

Ikut mengganggu ketenangan kita ialah masalah dan gejala kemiskinan dan kesan sosial yang dibawanya. Sekilas pandang, keadaan ini berlaku dan dilihat kian menular dalam masyarakat adalah berakibat dari kekurangan di dalam keberkesanan pada sistem penyampaian atau delivery system dalam pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan, terutama sekali yang ada kaitannya secara langsung dengan keperluan orang ramai.

Kemiskinan yang mulai menular dalam masyarakat amat ketara. Bilangan asnaf fakir/miskin yang disenarai menerima bantuan dari Bait-ul-Mal sudah berjumlah seramai 25 ribu orang. Ini tidak termasuk bilangan fakir/miskin dari penduduk yang bukan Islam dan kemiskinan yang tidak nyata, umpamanya baki gaji yang dibawa pulang terlalu kecil berbanding jumlah keluarga yang besar. Penggangguran juga bertambah setiap tahun. Kita percaya jumlah kemiskinan sebenar adalah lebih besar dari apa yang kita dapat perhatikan dengan mata kasar.

Kemiskinan adalah penyakit sosial yang amat merbahaya yang perlu ditangani oleh semua pihak, bukan sahaja di pihak kerajaan. Kita hendaklah berusaha sedaya mungkin, seiringan dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, dan sesiapa saja yang berusaha ke arah mengurangkan kadar kemiskinan di negara kita ini sebelum ianya menjadi masalah sosial yang sukar diatasi.

Isu perumahan

Pada ketika yang sama kita mendapati terdapat sebanyak 41,000 permohonan bagi mendapatkan rumah dari skim perumahan rakyat hujung tahun 2004. Hari ini angka itu dipercayai sudah bertambah. Sebanyak 8,000 permohonan lot tapak rumah untuk dibina sendiri juga difahamkan belum diproses. Ini adalah gambaran betapa keluarga yang tidak berumah adalah besar. Setakat ini jabatan kerajaan yang berkaitan hanya berupaya untuk membekalkan beberapa ratus buah rumah saja setahun. Dengan keupayaan demikian bererti jabatan berkenaan akan mengambil masa lebih 50 tahun untuk memenuhi keperluan permohonan skim perumahan yang terkumpul hingga tahun 2004. Sedangkan keperluan perumahan adalah meningkat setiap tahun.

Kelambatan dan ketidak-mampuan jabatan-jabatan berkenaan memproses permohonan dan menyediakan rumah yang secukupnya seperti yang dihadapi oleh pemohon-pemohon pada hari ini adalah masalah yang mesti ditangani segera dan bersungguh-sungguh. Ia tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menggawatkan lagi masalah sosial dan lain-lain masalah yang berkaitan dengannya di negara ini.

Situasi sebegini, jika dibiarkan menular tanpa adanya usaha yang serius ke arah menanganinya dengan baik sudah setentunya akan bertentangan dengan apa yang dikehendaki oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk rakyat Baginda.

Isu keselamatan permakanan negara

Kita juga bimbang dengan kebergantungan sumber makanan negara yang amat besar dari luar. Umpamanya, setakat ini, negara mengimpot 97.6 peratus beras dari luar. Ini bererti kita hanya mampu mengeluarkan sekitar 2.4 peratus beras untuk keperluan penduduk.

Kita mungkin tidak mampu mengeluarkan bahan makanan sendiri 100 peratus. Tetapi kita boleh mengurangkan peratus pergantungan makanan dari luar itu dengan mengadakan rancangan pertanian nasional yang disertai semangat yang kuat untuk melaksanakan dan menjayakannya supaya sebahagian dari keperluan makanan asas dapat diadakan dari dalam negeri.

Kita tidak sekadar memerlukan makanan yang secukupnya. Tetapi kita juga memerlukan makanan yang berkhasiat dan bermutu tinggi sebagai usaha menjadikan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia warga yang sihat dan bertenaga.

Memandangkan saiz negara kita terhad, maka kawasan pertanian juga mungkin terhad. Namun demikian, rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia tetap memerlukan bekalan makanan yang cukup. Maka langkah-langkah wajar hendaklah diambil bagi mewujudkan industri pemakanan yang memanfaatkan sebahagian bahan mentahnya dari luar.

Walaupun kita masih jauh untuk menjadi sebuah negara pertanian yang berjaya, namun kita mungkin boleh menjadi negara separa industri sebagai tambahan kepada industri petroleum yang ada sekarang. Industri makanan adalah suatu yang penting. Kita juga mahu negara melangkah ke arah sebuah negara tenaga teknologi dalam berbagai bidang termasuk teknologi pertanian dan industri asas tani.

Isu minyak dan gas

Kekuatan kewangan negara bergantung kepada hasil minyak. Kebanyakan negara pengeluar minyak menentukan sendiri industri minyaknya atau mempunyai kuasa yang lebih di dalam pentadbirannya. Negara Brunei Darussalam terikat dengan perjanjian dengan Syarikat Minyak Brunei Shell. Tidak dinafikan bahawa setakat ini ia memberi peluang pekerajaan kepada rakyat tempatan. Tetapi Syarikat Minyak Brunei Shell dilihat masih belum memberi peluang yang sewajarnya kepada tenaga tempatan di dalam kedudukan yang penting dalam pentadbiran.

Kita juga masih gelap sama ada pihak Syarikat Minyak Brunei Shell atau Unit Petroleum telah mengambil langkah-langkah sewajarnya, terutama sekali dari aspek penyediaan tenaga tadbir dan teknokrat untuk mengisi kekosongan tenaga di tahun-tahun mendatang ini.

Dalam konteks yang lebih besar, kita melihat langkah-langkah wajar perlu diambil supaya wujud kerjasama bestari atau smart partnership supaya pentadbiran industri minyak itu dapat mencerminkan penyertaan suara negara yang ketara dan hasrat memBruneikan pengurusannya membawa makna yang sebenar.


Perkara-perkara yang disebutkan tadi adalah antara isu-isu yang menarik perhatian Parti Pembangunan Bangsa untuk perhatian pihak-pihak yang berkenaan. Kita tidak teragak-agak untuk memberikan kerjasama semampu kita demi memperbaiki keadaan-keadaan tersebut di ruang mana jua yang termampu oleh NDP.

No comments:

Post a Comment