Saturday, January 10, 2015

Ucapan Presiden Jawatankuasa Penaja Pada Majlis Pelancaran Parti Pembangunan Bangsa Pada 25 Mac 2006


Saudara Pengerusi Majlis,

Assalamuailaikum warahmatullahhi wabaratuh dan salam sejahtera.

Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala di atas limpah kurnia dan dengan izinanNya kita berkesempatan bertemu dan berada dalam satu majlis yang bersejarah ini. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W yang membawa rahmat kepada seluruh alam dan membawa obor kesejahteraan kepada seluruh ummat di muka bumi ini.

Bagi pihak Jawatankuasa Penaja Parti Pembangunan Bangsa, saya rakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas kesudian tuan-tuan sekelian menghadiri majlis kita yang penuh bermakna pada hari ini.

Sesungguhnya majlis pada hari ini adalah satu lakaran sejarah yang akan turut membentuk citra dan percambahan pemikiran masa kini dan masa depan politik di Negara Brunei Darussalam.

Saudara-saudari,
Dalam banyak aspek, perkembangan dan kemajuan di Negara Brunei Darussalam pasca merdeka telah mengambil tempatnya begitu cepat dan rancak. Justeru itu seluruh anggota masyarakat dari semua lapisan mestilah mendepani perkembangan dan kemajuan tersebut secara bersepadu, supaya keamanan, kesejahteraan, keadilan dan kejayaan anugerah Allah S.W.T. itu dapat dinikmati dengan berkekalan oleh semua rakyat tanpa mengira agama dan ras.

Dalam konteks ini, dua perkembangan besar yang mengetuk pintu hati kita untuk mengorak langkah membentuk wadah politik yang berada ditengah-tengah saudara-saudari sekarang ini, iaitu tuntutan semasa yang mendesak bagi menyatukan setiap warga Brunei Darussalam walaupun di mana mereka berada dan mengajak mereka membaharui ikrar menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan terhadap zuriat baginda.

Kedua ialah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Julai 2004 yang telah memberi isyarat akan kesempatan rakyat untuk berpartisipasi di dalam pembangunan politik di negara ini. Titah tersebut antara lain menyebut bahawa kerajaan baginda telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula dan meminda beberapa bahagian di dalam Perlembagaan 1959. “Pinda-pindaan ini bertujuan untuk mengukuhkan Institusi Beraja dan meningkatkan keberkesanan hubungan antara kerajaan dengan rakyat…Beta juga memberi keutamaan bagi meningkatkan peluang orang ramai melibatkan diri dan memberi sumbangan membina kepada kemajuan negara.”

Saudara-saudari,
Pada tanggapan kita titah ini merupakan penzahiran hasrat dan cita-cita baginda sultan ke arah pembaharuan politik negara sejajar dengan perkembangan politik negara-negara maju, dan juga sejajar dengan keperluan memberikan hak rakyat ke atas negara dan pemerintahan seperti yang telah digariskan oleh Islam sendiri.

Selain itu, yang turut menjadi tumpuan pemikiran kita ialah, perkembangan global yang merentangi seluruh pelusuk rantau yang turut menyentuh kehidupan rakyat, justeru tersagirnya (tersentuh) Negara Brunei Darussalam dalam arus globalisasi yang amat deras ini adalah suatu yang tidak dapat dielakkan.

Untuk menghadapi cabaran-cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi dan pemodenan ini tentunya memerlukan “adjustments” dalam semua aspek pengurusan negara termasuklah di dalam persoalan hak asasi manusia, kebebasan bersuara, demokrasi dan keadilan untuk semua.

Alhamdulillah, dengan Taufiq dan Hidayah Allah SWT, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah dengan begitu cepat membaca isyarat dari kesan yang bakal dibawa oleh globalisasi ke dalam kehidupan kita bernegara. Baginda telah mengambil tindakan awal dengan memantapkan lagi siasah dan diplomasi di peringkat serantau dan antarabangsa yang kita lihat boleh menjadi salah satu strategi menghadapi tekanan globalisasi ini.

Bagaimana pun kesan-kesan negatif yang amat laju dibawa bersama oleh kederasan arus globalisasi dan nilai-nilai asing yang mulai melanda negara pastinya tidak dapat dihadapi dan dikawal oleh baginda seorang diri tanpa penglibatan dan komitmen seluruh rakyat untuk rebah bangun bersama baginda dengan berbekalkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T..

Saudara-saudari,
Atas kesedaran itulah kita tampil kehadapan dan bergerak kehadapan menawarkan khidmat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam sebagai rakan strategik baginda dan kerajaan baginda untuk menghadapi cabaran-cabaran mendatang supaya kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan warga-warga dunia yang maju menepati jolokan Brunei sebagai negara “Sejahtera” dan harapan kita untuk memacu Negara Brunei Darussalam ke arah “Negara Aman Makmur Yang Mendapat Keampunan Allah SWT”.

Bagi merakamkan keprihatinan kita terhadap cabaran-cabaran yang semakin menghimpit, dan bagi menyokong “adjustmen politik” yang dianjurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam yang memperkenalkan reformasi politik seperti di dalam titah baginda 15 Julai 2004 itu, maka itu kita tampil kehadapan dengan mempersembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan rakyat baginda seluruhnya sebuah organisasi politik sebagai wadah untuk membantu baginda, kerajaan dan rakyat baginda seluruhnya selagi ia dapat diungkayahkan dan di galas kerana Allah SWT jua. InsyaAllah.

Organisasi politik itu tidak lain ialah Parti Pembangunan Bangsa atau di dalam bahasa Inggeris disebut “National Development Party” (NDP). Parti ini telah didaftarkan pada 26 Rejab 1426 bersamaan 31 Ogos 2005. Bagi pihak jawatankuasa penaja saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat yang telah memproses dan meluluskan pendaftaran parti ini dalam masa yang singkat khususnya Pendaftar Pertubuhan (ROS). Perkembangan ini sebetulnya telah memberi rangsangan kepada kami sebagai rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh bagi menunaikan tanggungjawab politik dan bernegara.

Dengan perkembangan-perkembangan yang kondusif itulah, kita berhimpun pada hari ini untuk melancarkan Parti Pembangunan Bangsa secara rasminya. Sebagai sebuah organisasi politik yang sihat dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Alhamdulillah, kita telah berjaya meletakkan halatuju parti ini pada asas yang benar lagi kukuh seperti yang dapat difahami melalui Artikel 9 dalam perlembagaan parti tersebut yang berbunyi :

Pegangan tertinggi, sumber dasar dan peraturan, dan kekuasaan:

Pegangan tertinggi dan sumber bagi dasar dan peraturan parti pembangunan adalah Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Mana-mana bab, artikel atau klausa di dalam perlembagaan Parti Pembangunan yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW adalah dengan sendirinya terbatal.

Dengan tertakluk kepada Klausa 1 dan Klausa 2, Artikel 9, semua kegiatan dan pentadbiran Parti Pembangunan adalah dijalankan di bawah bidang kuasa dan arahan Kongres Agung Tahunan atau Khas, dan Kongres Agung Tahunan atau Khas itu hendaklah tertakluk kepada syarat syarat yang termaktub dalam perlembagaan Parti Pembangunan dan peraturan-peraturan yang mengawal Kongres Agung Tahunan atau Khas itu sendiri.

Sementara itu justifikasi kepada kewujudan Parti Pembangunan Bangsa ini dapatlah kita halusi dan fahami sepertimana yang dinukilkan pada Mukaddimah, Visi, Misi Dan Objektif Utama parti seperti berikut :

Muqaddimah
Bahawa dengan sesungguhnya,

Demi kesedaran untuk menyokong dan membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan dalam mengekalkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu, Islam, Beraja dan Demokratik sebagaimana yang telah diamanatkan oleh baginda melalui titah pemasyhuran kemerdekaan pada 01 Januari 1984;

Demi menunaikan tanggungjawab untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah SWT (baldatun thayyibatun wa rabbun ghafuur);

Demi mendukung prinsip keadilan dan ihsan (al ‘adli wal ihsan) yang menjadi amalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam;

Maka dengan ini diisytiharkan penubuhan dan kewujudan sebuah organisasi yang diberi nama “Parti Pembangunan Bangsa.”

Artikel 3: Visi Parti Pembangunan:

“Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Melayu, Islam, Beraja, Aman dan Makmur serta mendapat keampunan Allah swt”
Artikel 4: Misi Parti Pembangunan:

Mempertahankan kedaulatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat baginda sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Dan Ulil Amri di Negara Brunei Darussalam yang berkuasa dan memerintah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Mempertahankan kedudukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat baginda sebagai pewaris takhta kesultanan Negara Brunei Darussalam buat selama-lamanya.

Menyokong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat baginda dalam menegakkan serta mempertahankan Islam dan syariatnya sebagai Ad-Din, di Negara Brunei Darussalam, tanpa adanya sebarang diskriminasi atau ketidakadilan terhadap penganut agama yang lain.

Menyokong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat baginda dalam menegakkan serta mempertahankan ketuanan Melayu-Muslim di Negara Brunei Darussalam, tanpa adanya sebarang diskriminasi atau ketidakadilan terhadap bangsa-bangsa dan kaum-kaum yang lain.
Menyokong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat baginda dalam mempertahankan dan mengekalkan kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan Negara Brunei Darussalam.

Menyokong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat baginda membangunkan Negara Brunei Darussalam dalam semua sektor, termasuk ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan, sehingga menjadi dan berterusan berkekalan sebagai sebuah negara Melayu Islam yang progresif, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain dan negara yang merdeka di arena antarabangsa.

Menyokong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat baginda menegakkan dan mempertahankan prinsip keadilan dan ihsan (al-‘adl wal ihsan) di Negara Brunei Darussalam.

Artikel 5: Objektif Utama Parti Pembangunan ialah untuk :

Memupuk rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi di kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah terhadap baginda sebagai Sultan Dan Yang Di-Pertuan Dan Ulil Amri Negara Brunei Darussalam, dan terhadap zuriat keturunan baginda.

Mendidik dan menyemai semangat patriotik, cintakan negara, dan kesedaran berpolitik secara aman dalam suasana madani di kalangan rakyat.

Berusaha membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mewujudkan sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan yang adil dan saksama, telus, bersih, cekap, amanah, penuh ihsan dan kebajikan.
Bekerjasama dengan mana mana jua pihak yang menghormati visi, misi dan objektif utama Parti Pembangunan dalam menjayakan wawasan parti, selagi ia tidak bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang negara.

Berusaha menjalin hubungan dan kerjasama dengan badan badan dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, kerajaan dan bukan kerajaan, dan lain lain demi kepentingan nasional, terutama sekali bagi memajukan dan membangunkan negara dan bangsa brunei yang merdeka.
Bergiat memartabatkan dan memajukan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi negara, di samping mengembangkan pengajian bahasa Al-Quran dan penggunaan tulisan jawi.

Pada amnya, menjalankan apa-apa jua kegiatan yang telah digariskan oleh perlembagaan parti pembangunan dan apa-apa jua kegiatan yang sah di sisi perlembagaan dan undang undang negara demi menunaikan komitmen untuk membantu membangun negara dan membina keutuhan bangsa.

Saudara-saudari,
Suka saya mengingatkan bahawa tanggungjawab politik kita adalah amat besar. Yang demikian, samada parti kita ini diterima sebagai gerakan politik atau gerakan dakwah, ia hendaklah berupaya memikat hati rakyat untuk digembeling dan melaraskan simpati dan sokongan mereka terhadap Parti Pembangunan ini.

Untuk mencapai hasrat tersebut, ahli-ahli parti diserukan agar sentiasa menanamkan rasa persaudaraan dan persamaan, berfikiran matang, berdisiplin, setia kepada parti, berhemah, mesra dan sivil dalam sebarang pendekatan politik. Melalui pendekatan demikian, Insyaallah, Parti Pembangunan akan sentiasa dilihat sebagai parti yang sederhana, professional, pencinta keamanan dan kesejahteraan, lebih-lebih lagi apabila dilihat idealogi parti adalah berteraskan Islam.

Saudara-Saudari,
Suatu hal yang mesti diambil perhatian dan ditangani oleh seluruh ahli-ahli NDP secara bijaksana, terutama sekali oleh para pemimpinnya dari semua peringkat ialah tanjakan-tanjakan atau ‘constrain’ yang sedang berada ditengah-tengah kita, iaitu, bagaimana kita boleh mencetuskan kesedaran berpolitik dikalangan rakyat Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan secara sihat dan dalam iklim politik yang sihat, bagaimana kita boleh meraih simpati dan sokongan rakyat dalam suasana dan budaya politik negara hari ini yang digurih oleh berbagai peraturan dan undang-undang?.

Seterusnya, bagaimana caranya untuk kita memecahkan kecurigaan berbagai sektor agar mereka tidak melihat kehadiran parti-parti politik di negara ini sebagai saingan dan ancaman kepada mereka tetapi sebaliknya adalah rakan strategik yang sama-sama menanai amanah Allah Azzawajalla dan amanah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui pelantar masing-masing.

Saudara – saudari,
Demikianlah kita persembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, ke persada rakyat baginda dan ke pangkuan anggota-anggota Parti Pembangunan dan Negara Brunei Darussalam yang tercinta, sebuah idealisma perjuangan seperti yang dirakamkan di dalam perlembagaan Parti Pembangunan Bangsa ini.

Insya-Allah, Parti Pembangunan Bangsa akan melakukan segala sesuatu yang larat kita lakukan dan akan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan baginda dalam apa-apa jua usaha dan program yang berkebajikan sepanjang khidmat kita diperlukan, lebih-lebih lagi demi merealisasikan apa yang menjadi cita-cita Parti Pembangunan Bangsa seperti yang diungkapkan dalam perlembagaannya.

Saudara-saudari,
Dengan penuh keinsafan dan dengan rendah hati, kami dari Parti Pembangunan Bangsa berseru dan mengajak seluruh anak-anak serta ibu-ibu dan bapa-bapa yang datang dari berbagai latar belakang, bekas banduan, bekas penagih dadah, anak-anak yang masih menganggur, saudara-saudara kaum buruh, tani dan nelayan, peniaga-peniaga kecil dan sederhana, kumpulan yang berpendidikan tinggi dan rendah dan yang langsung tidak berkesempatan bersekolah, para pendidik, ahli akademik, teknokrat, kumpulan profesional, ahli-ahli korporat, elit dan ningrat, ulama’ dan para ilmuan, lelaki dan perempuan, muslim dan non-muslim, marilah kita bersatu di bawah wadah Parti Pembangunan. Melalui parti siasah ini, bersama-samalah kita berkhidmat dan menzahirkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan, Ulil Amri dan Mujadid bagi ummat Islam di Negara Brunei Darussalam, berkhidmat dan menzahirkan kesetiaan kepada kerajaan baginda, menzahirkan kecintaan kita kepada rakyat baginda dan juga watan, segala-galanya kerana ketakwaan dan ketaatan kita kepada Allah SWT semata-mata dengan penuh ikhlas kerana-Nya jua. Saudara-saudari semuanya adalah aset penting negara. Percayalah, masih ada ruang untuk semua berperanan membangun negara dan membina bangsa.

Sudah sampai masanya kini mereka yang berkemampuan dan berkeupayaan untuk berkongsi ilmu, berkongsi pengalaman, berkongsi rezeki, berkongsi kemahiran dengan saudara-saudara, adik-adik dan anak-anak kita yang memerlukan sokongan dan bantuan dari kita semua melalui parti pembangunan bangsa ini. Parti Pembangunan adalah wadah dakwah, wadah khidmat dan wadah politik. Marilah kita menunaikan tanggungjawab kenegaraan kita bersama, dengan penuh jujur dan ikhlas.

Mudah-mudahan, di akhirnya nanti, generasi akan datang, dengan izin Allah SWT, akan menyaksikan dan merasa nikmat pembangunan yang dirancang rapi oleh generasi sebelum mereka. Seluruh ummat yang bernaung di bawah cepu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa ceria, aman sejahtera mendapat keberkahan Allah SWT, menepati konsep wilayah ‘Darussalam’ dan ‘Baldatun Thayibbatun Warabbun Ghafur’ buat selama-lamanya.

Akhir kalam, saya sekali lagi menjunjung penghargaan dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan baginda di atas pertimbangan dan kelulusan pendaftaran Parti Pembangunan Bangsa, dan ucapan penghargaan serta terima kepada tuan-tuan yang terutama perwakilan-perwakilan asing, dif-dif jemputan, tuan-tuan dan puan-puan sekelian yang telah sama-sama menjayakan majlis yang penuh bermakna dan bersejarah ini.

Saya dengan lafaz bismillah hirrahmannirrahim melancarkan Parti Pembangunan Bangsa dengan slogan “Menjunjung Titah Membangun Bangsa” secara rasminya.

‘Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!’

Sekian,

Wabillahi taufik wal hidayah wassalammuailaikum warahmatullahi wabarakatuh.



1 comment: