MENINGKATKAN DAYA SAING BANGSA
Negara Brunei Darussalam merayakan Hari Kebangsaannya yang
ke 22, yang juga ditanggapi oleh kebanyakan anggota masyarakat sebagai perayaan
Hari Kemerdekaan pada 23hb Februari 2006 ini.
Partai Pembagunan Bangsa (NDP) yang baru berumur enam bulan
ini tidak ketinggalan turut merayakannya dengan berbagai program yang membawa
mesej dan isyarat tertentu.
Program-program yang diatur oleh NDP berjalan selama sebulan
bermula dari 1hb Feb 2006 hingga 28hb Feb 2006, dimulai dengan Tadarus Al
Quraan dan doa selamat dan kemudiannya ditutup juga dengan majlis Khatam al
Quraan dan doa selamat dengan harapan untuk memohon petujuk hidayah dan
keberkahan dari Ilahi.
Ketika kita merayakan Hari Kebangsaan ini marilah kita
sama-sama merenung jauh kehadapan, apakah survival bangsa, negara dan institusi
kesultanan Brunei ini akan kekal karal buat selamanya selagi ada bulan dan
matahari?
Dalam konteks ini sekurang-kurangnya tiga unsur atau nilai
kebangsaan yang wajar kita perhatikan dan nilai secara jujur sama ada tuntutan
keselamatan bagi negara kita yang kecil ini telah kita fikirkan secara serius
atau telah kita usahakan atau kita masih leka dan “inda ingau?”
Anggota-anggota NDP diajak untuk menginsafi bahawa tuntutan
keselamatan negara kita yang kecil ini adalah lebih kepada usaha untuk menjaga
dan mengembangkan nilai-nilai kebangsaan yang kita anggap amat penting iaitu
survival jatuh bangunnya masyarakat (survival of the population), keutuhan
wilayah (territorial integrity) dan kemerdekaan politik (political
independence).
Dari sudut survival bangsa, NDP dan seluruh anggotanya,
sesuai dengan komitmennya yang tersurat di dalam perlembagaan parti hendaklah
berdiri teguh dan mapan pada setiap saat membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai
pemimpin dan pemerintah untuk menjalankan polisi-polisi yang mampu mencorakkan
dan meningkatkan tahap kehidupan serta keselesaan hidup rakyat seluruhnya.
Masyarakat yang baik, berdayamaju dan berdayasaing lazimnya
terhasil daripada polisi dalaman yang baik dan dilaksanakan, samada dari sudut
sosial, ekonomi, agama ataupun pendidikan yang cemerlang.
Oleh itu pihak-pihak yang berkenaan hendaklah terus menerus
mengadakan kajian dan menilai polisi-polisi yang telah digarapkan dan
pencapaianannya atau menggubal polisi-polisi baru, seterusnya proaktif
menangani sebarang kepincangan tanpa menunggu titah.
Umpamannya, bagaimana tahap kemiskinan di Brunei yang
terbilang antara yang terkaya didunia mempunyai tahap kemiskinan boleh mencecah
25,000 orang berbanding rakyat yang tidak sampai pun 300,000 orang, bagaimana
permohonan skim perumahan dan tanah perumahan untuk rakyat jati telah melebihi
40,000 pemohon, dan permohonan ini meningkat tahun demi tahun.
Bagaimana kita boleh merapatkan jurang pendapatan yang luas
umpamannya ada yang bergaji B$40,000 sebulan sedang ada yang masih menerima
gaji hari kurang dari B$20 sehari dan kenaikan tahunan antara 30 sen – 60 sen
setahun? Inilah di antara isu-isu yang dilihat oleh NDP sebagai amat
menggerunkan.
Jika tidak ditangani dengan segera dan sewajarnya isu-isu
seperti ini tidak syak lagi boleh menggugat survival bangsa. Islam juga
mengingatkan bahawa kemiskinan itu lebih hampir kepada kekufuran, justeru itu
wajiblah diambil langkah-langkah yang berpatutan dan proaktif bagi
menanganinya. Barang sudah tentu, kejayaan kita mencorakkan rakyat mempunyai
kualiti hidup dan kehidupan yang tinggi akan melahirkan masyarakat yang sihat,
bertanggung jawab dan bangsa yang berdayasaing.
Insya Allah keadaan ini akhirnya akan menyumbang kepada
peningkatan produktiviti negara, dan sistem pertahanan negara yang paling
ampuh.
Justeru, dalam konteks ini, aspek keselamatan dan survival
rakyat dan penduduk negara yang kita cintai sewajarnya diletakkan pada agenda
paling atas dalam kerangka sebarang formulasi polisi dan eksekusi program
pembangunan negara. Dari sudut keutuhan wilayah pula,
NDP melihat isu ini sebagai aspek yang sangat penting.
Kepentingan ini membawa maksud bahawa integriti seluruh wilayah Brunei
Darussalam hendaklah kita jaga dan pertahankan dengan sesungguh hati, jiwa dan
raga.
Kegagalan menjaga integriti wilayah akan membawa kepada
perpecahan negara dan paling tidak akan menyebabkan wilayah kita semakin
terhakis.
Kerana itulah juga kita dapati apabila sesetengah negara
berdepan dengan ancaman pembebasan wilayah seperti di Patanni atau Mindanao,
negara-negara terbabit akan menilainya sebagai sebahagian daripada ancaman
kepada nilai utama sesebuah negara iaitu keutuhan wilayah. Pendekatan untuk
menjaga integriti wilayah ini memerlukan pendekatan yang bukan semata-mata
bersifat ketenteraan tetapi juga dari sudut politik, persatuan dan kesatuan
seluruh rakyat serta kesetiaan seluruh rakyat yang tidak berbelah bagi kepada
negara dan raja yang dicintai.
Sejarah telah mengajar betapa pergolakan politik yang
negatif di dalam negara serta perlaksanaan dasar -dasar yang lemah, telah
dieksploit oleh kuasa-kuasa asing sehingga mereka berjaya memecah dan
mengecilkan negara brunei darussalam, yang suatu ketika dahulu adalah sebuah
empayar yang mempunyai keluasan wilayah melebihi satu juta kilometer persegi.
Kemerdekaan politik merupakan isu yang sangat sensitif.
Ini kerana kebanyakan negara-negara kecil mempunyai
pengalaman sejarah lampau yang pahit termasuk pengalaman berada di bawah
penjajahan.
Justeru, ancaman terhadap kedaulatan, kemerdekaan atau
kebebasan politik dalam sesebuah negara dilihat sebagai amat membimbangkan
kerana penjajahan dalam bentuk baru boleh saja berlaku melalui pelbagai cara,
antaranya melalui kesempatan daripada wujudnya tahap kemiskinan yang meluas,
globalisasi yang membolehkan negara luar mengawal tindakan sesebuah negara
tanpa sedar terutama dengan menggunakan instrumen ekonomi atau alasan Foreign
Direct Investment (FDI).
Demikianlah kita melihat persoalan mempertingkatkan daya
saing bangsa dan hubungannya dengan keselamatan negara dan survival bangsa,
justeru meletakannya sebagai keutamaan dalam agenda perjuangan NDP.
Kesedaran rakyat yang menyeluruh disertai dengan iltizam, akan
dengan sedirinya melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi, berilmu, beriman,
bertaqwa dan mempunyai kekuatan ampuh untuk berdayasaing dengan lain-lain
bangsa dan negara di peringkat antarabangsa.
Sesungguhnya, perananan dan tangungjawab ini tidak seharusnya
diletakkan ke atas pundak bahu Kebawah Duli Yang Maha Mulia semata-mata.
Seluruh jentera pemerintah hendak bergerak seiring dan bersepadu dengan penuh
jujur dan amanah.
Kurangkanlah sebarang perasangka buruk dan fitnah memfitnah
kerana ianya tidak membawa apa-apa keuntungan kepada negara dan bangsa dan
negara.
Insyaallah rakyat yang bebas dari kemiskinan, mempunyai
kualiti hidup yang tinggi, bebas dari sebarang perasangka dan dipandu oleh
keimanan dan ketakwaan akan melahirkan rakyat yang bulat tekad dan kecintaan
luhur terhadap raja, bangsa dan negara. Insyaallah, dengan ikrar kita untuk
menjunjung titah membangun negara Brunei Darussalam akan akhirnya seiring dan
sejalan dengan negara-negara membangun yang lain. Walaupun kita kecil namun
akan tetap dilihat besar. Wallahwaalam
No comments:
Post a Comment